http://picasion.com/gl/1Ml2/

MuRiD Ku

03 Februari 2009

Bagaimana untuk menjadi seorang pendebat/pembahas terbaik yer? (Dari forum Akademi Debat oleh Lagenda Debat UIAM

Secara asasnya, perlukan kepada pengetahuan anda. Anda tak perlu tahu semua perkara tentang sesuatu isu tetapi anda perlu tahu sedikit perkara tentang semua isu.

Itu dari segi ilmu dan fakta untuk berdebat. Boleh diperbaiki dan diasuh sendiri dengan bantuan rakan-rakan dan guru/jurulatih.

Namun begitu, cabaran terbesar adalah untuk mewujudkan identiti tersendiri ketika berdebat. Kita sering melihat orang lain begitu hebat berdebat di atas pentas, dan kecenderungan kita adalah untuk mengadaptasi corak persembahan individu tersebut. Pengalaman saya menjadi hakim beberapa pertandingan, saya mendapati kebanyakan pendebat terutamanya yang masih baru suka terikut-ikut dengan corak persembahan sesetengah pendebat tersohor. Sebagai permulaaannya, tidak menjadi satu kesalahan untuk kita "meniru" demi kebaikan bersama.

Tetapi apa yang lebih penting adalah keupayaan kita sendiri untuk membina karakter kita sendiri, perwatakan yang mampu membezakan kita dengan pendebat-pendebat lain.

Beberapa contoh yang boleh saya berikan, mungkin dari segi pemakaian kita sendiri. Penggunaan songkok suatu ketika dahulu tidaklah begitu menggalakkan dalam kalangan pendebat sekolah mahupun universiti, namun begitu apabila fenomena ini dicetuskan dek kerana berjaya menampilkan imej yang lebih baik, maka sewajarnya kita ikut dan telusuri. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Ada seorang pendebat wanita dari UiTM Shah Alam yang amat saya kagumi, cukup hebat berdebat di arena perdebatan. Adakalanya hati saya cukup gentar tatkala berhadapan dengan pasukan beliau. Ini kerana corak penjelasan beliau yang "agak tinggi" tahap intelektualnya menyebabkan kita terpaksa mendengar dengan berhati-hati.. itulah trademark beliau. Beliau hebat kerana corak pengolahan isi dan penjelasan beliau yang cukup mantap tanpa perlu berbunga-bunga bahasa mahupun menarikan lenggok bahasa badan..

Pernah jua ketemu dengan seorang lagenda debat UPM, cukup berkarisma dan digeruni. Beliau ini punya cara berdebat straight to the point, dengan olahan ayat cukup berbisa dan mantap. Karakter yang beliau jiwai adalah sebagai seorang yang tegas dan garang. Bagi beliau, sememangnya menjadi kerana telah banyak kali dinobatkan selaku pendebat terbaik.

Seorang rakan pendebat dari USM pula cukup cilik orangnya, tutur bicaranya pun boleh tahan "pedas" juga. Mampu memukau juri dan menundukkan pihak lawan.

Ada seorang pendebat dari UPSI pula, berdebat dengan cara yang penuh bersopan. Dek kerana dirinya wanita, tuturkatanya amat menyentuh perasaan terutama ketika menggulung hujah. Sangat mengesankan!

Daripada semua contoh yang dinyatakan di atas, disimpulkan bahawa "cara kita bertutur" memainkan peranan yang amat penting dalam menjadikan kita pendebat yang bagaimana. Apatah lagi jika kita benar-benar menghayati apa yang kita tuturkan dengan seikhlasnya, pasti menarik perhatian juri dan menggentarkan pihak lawan.

You don't just say what you mean, but most importantly really mean what you say. (within the context of the debate)

Moga-moga ini akan dapat menyuluh sedikit pembuktian kebenaran kepada saudara/i untuk mencari identiti tersendiri menjadi pendebat terbaik suatu hari nanti.
_________________
I Never Lose, I Just Choose Not To Win.
Comments
0 Comments

Tiada ulasan:

NoTa CiNtA uNtUk ChEkGu